Sabtu, 29 November 2008

LAWATAN KE TANJUNGPURA LANGKAT KOTA BERSEJARAH - Siri 1

Alhamdulillah, seramai 6 orang ahli keluarga TG Hj Sulong (iaitu Paksu Samin, Abang Awang Bok, Pakcik Hj Ghazali, Makcik Zainab, anaknya Ridzuan -penulis dan Fatimah) telah melawat dan menyambung silatulrahim semula dengan keluarga di Langkat. Lawatan selama empat hari tiga malam itu, dari 17/11/2008 hingga 20/11/2008 meliputi Kota Medan, Tanjungpura dan Pengkalan Berandan.
Jadual asal penerbangan bertolak dari Bayan Lepas (PP) ke Polonia (Medan) adalah 17/11/2008 jam 6.15 petang tetapi telah diubah ke 9.10 malam (Kemungkinan ada perubahan disebabkan ada penerbangan haji di Lapangan terbang Medan). Perjalanan dari kampung di Jeneri, pada asalnya dijadualkan pagi, telah diubah ke waktu selepas solat Jumaat.
Selepas solat jumaat di Masjid Jeneri, terus ke rumah Bang Awang di Kg Bukit Hangus. Apabila sampai di rumahnya kena minum kopi pula, bersalam-salaman dengan keluarganya. Kemudian ke rumah kami, seterusnya ambil Paksu Samin dirumahnya.
Perjalanan seterusnya ke Pulau Pinang, sampai saja terus ke Kompleks Bukit Jambul, tukar duit rupiah. Pakat seronok, dapat ratus-ratus ribu. Selepas berehat di rumah saya di Gelugor sampai waktu maghrib, kami mula bertolak ke lapangan terbang. Sampai di bayan lepas dalam pukul 7.45 malam, terus check in, ramai juga penumpangnya. Bayar untuk enam beg tapi hanya empat beg yang masuk kargo. Maklumlah beg masih ringan! Lepas tu kena isi borang nak masuk Indonesia, nasib baik YB U. Aishah datang dan tolong maknya, yang lain pula, saya dengan Fatimah saja tukang isi. Apabila nak masuk tempat perlepasan, tiba-tiba Makcik Zainab tidak boleh masuk kerana tiada boarding pas. Apabila disuruh buka beg tangan, dia kata memang takdak. Akhirnya, dipaksa buka dan nampak elok je boarding pas dalam beg tangan dia.
Apabila nak naik pesawat airasia, orang tua dibenar naik dulu, maka tinggal saya dengan Fatimah naik lewat. Kami duduk sebaris kerana cukup-cukup 6 kerusi. Malam naik kapal terbang tak berapa seronok, nampak lampu dan kemudian gelap gulita saja. Apabila sampai di Medan, turun2, kena naik bas airport dulu, lepas tu beratur di imigresen. Ketika itu Latifah, sudah sms, beritahu dia, kami ada 3 orang pakai kopiah puteh, seorang baju batik (saya) dan 2 orang perempuan. Apabila keluar saja, terus mereka panggil dan angkat tangan.
Malam tu, kami terus naik bas mini yang disewa khas dan terus ke Tanjungpura, kemudian ke Kg Pematang Chengal (rumah arwah sepupu/saudara sesusu Pakngah Yob). Bersambung di siri 2.....

Rabu, 5 November 2008

YB USTAZAH HAJJAH SITI AISHAH BINTI HAJI GHAZALI EXCO KEDAH DAN ADUN PAS MERBAU PULAS










Tahniah diucapkan kepada YB Ustazah Hajjah Siti Aishah Haji Ghazali (Ketua Muslimat PAS Negeri Kedah) yang berjaya memenangi kerusi DUN Merbau Pulas atas tiket PAS seterusnya dilantik sebagai EXCO Kebajikan dan Pembangunan Wanita Negeri Kedah. YB Ustazah Aishah adalah cucu kepada Tuan Guru Haji Sulong iaitu anak kepada Hajjah Zainab binti Haji Sulong. Ayahnya Tuan Guru Haji Ghazali Haji Ahmad adalah menuntut ilmu di Mekah pada tahun 1955 hingga 1961, juga merupakan aktivis dalam ulama' PAS setempat (Jeneri Sik Kedah), rakan karib kepada TG Haji Salleh Musa Pondok Sik, arwah Sheikh Talib Husin - ahli fatwa Kedah, TG Hj Umar Zuhdi Lanai , TG Hj Abu Bakar Parit Panjang dan lain-lain. Manakala ibunya Hajjah Zainab pernah menjadi AJK Muslimat PAS Negeri Kedah (era Almarhum Ustaz Fadzil) dan setiausaha Muslimat PAS Kawasan Sik Kedah.

Isnin, 3 November 2008

BATU NESAN BARU (BERNAMA) KUBUR HAJI CHIK (BAPA TG HJ SULONG)

Majlis meletak batu nesan baru (bernama) bagi kubur Haji Chik Bin Haji Ibrahim (bapa kepada TG Haji Sulong dan Hjh Puteh).

Tempat: Kubur Kampung Kubang Teradeh, Guar Kepayang, Pendang Kedah.
Tarikh: 8 November 2008 (Sabtu)
Masa: 10.00 pagi

Majlis tahlil dan pengkisahan hidup arwah Haji Chik diadakan di rumah Paklang Murad yang berdekatan selepas itu.

Semua cucu, cicit dan piut diminta hadir.